Situasi 36 : Perancangan Bahasa
Strategi
Perancangan Bahasa
Perancangan
bahasa menjadi satu aktiviti penting bagi negara-negara yang ingin membentuk identiti
baru. Aktiviti ini menjadi menonjol dengan usaha Einar Haugen yang telah
membina Landsmal, sebuah dialek di Norway sehingga menjadi bahasa kebangsaan
Norway. Banyak lagi usaha sedemikian dijalankan di negara-negara lain,
lebih-lebih lagi di negara-negara yang baru mencapai kemerdekaan selepas
Peperangan Dunia Kedua. Negera-negara seperti India, Nigeria, Kenya, Zambia,
Indonesia, Filipina dan Malaysia mahu membina identiti baru selepas merdeka
daripada penjajahan Inggeris.
Sebenarnya
ini bukan satu usaha baru. Banyak negara lain yang menjalankan usaha demikian pada
zaman sebelum itu. Pengekodan tatabahasa Yunani dijalankan pada zaman kerajaan Helenistik
dan Iskandar Agung. Bahasa Sanskrit juga dikodifikasi kira-kira 2000 tahun
sebelum Masehi dengan tujuan memantapkannya supaya tidak berubah demi
kepentingan agama Hindu. Selepas Revolusi Perancis di Eropah, revolusi bahasa
berlaku di Norway, Greece, Belgium, Rumania, Hungary, dan Bulgaria. Banyak
usaha penyelarasan dan pembakuan bahasa berlaku. Selepas Peperangan Dunia
Pertama, Finland, Estonia, Latvia, Lithuania, Iceland dan Eyre juga menjalankan
perancangan terhadap bahasa masing-masing. Bahasa Rusia berkembang selepas
Revolusi Rusia. Demikian juga, bahasa Turki menggantikan aksara Arab yang
digunakannya dengan aksara Rumi dalam revolusi memodenkan bahasa Turki.
Pada tahun 1582, Duke Cosimo, selepas diyakinkan
oleh para penulis, telah menubuhkan Accademica della Cusca, yang bertujuan
membersihkan bahasa Itali daripada pencemaran dan mempertahankan kemurniannya.
Kardina Richelieu pua di dalam usahanya memusatkan kuasa di Perancis, telah
menubuhkan Acadēmie Francaise pada tahun 1653, bertujuan untuk membentuk
rumusan yang lebih jelas mengenai bahasa dan tatabahasa. Institusi ini tidak
merasmikan bahasa Perancis dan menyuburkannya, tetapi badan itu lebih berupa
suatu simbol daripada betul-betul berkuasa. Ini dapat dilihat daripada
hasilnya; sebuah kamus yang hanya terbit pada tahun 1964, dan ejaan Perancis
hanya dirasmikan pada tahun 1835.
Selepas itu, Sepanyol, Sweden, dan Hungary
menubuhkan akademi bahasa, masing-masing pada tahun 1713, 1739, dan 1830. Walau
bagaimanapun mereka lebih memberatkan hal-hal ketepatan ejaan, samalah seperti
aktiviti Acadēmie Francaise. Dan, tidaklah diketahui sejauh manakah akademi ini
membantu pertumbuhan bahasa. Di negara yang tidak mempunyai akademi, ada juga
kuasa individu yang wujud untuk menyelaraskan bahasa seperti yang dilakukan
oleh Milton, Swift, Dryden dan Defoe untuk bahasa Inggeris dan Jerman. Adamtias
Korais (1748-1863) pula, telah mencuba membentuk bahasa Yunani murni dengan
menggunakan bahasa agama dan ilmu, dan menjauhkan peminjaman. Pada tahun 1814
Vuk Stefanuric Karadzic, menulis tatabahasa untuk bahasa Yugoslavia, dan pada
tahun 1818 di menerbitkan sebuah kamus. Ivar Aasen, membuat perkara yang sama
untuk bahasa Norway dengan menghasilkan sebuah tatabahasa pada tahun 1864 dan
sebuah kamus pada tahun 1873.
Dengan usaha-usaha ini perancangan bahasa telah
lahir. Manusia telah meletakkan nilai tertentu untuk bahasa dan merancangkan
langkah-langkah untuk mebolehkan semua penutur menurutinya.
Pada zaman moden, dengan penduduk yang mempunyai
ilmu yang bertambah, dan peringkat intelektual yang meningkat, bahasa yang baku
yang mungkin tidak begitu penting untuk kesusasteraan, adalah semakin penting
dan diperlukan untuk ilmu. Di Turki, Kamal Ataturk, dalam usahanya meningkatkan
bahasa Turki, menukar ejaannya daripada Jawi ke Rumi, supaya ia setanding
dengan bahasa lain di dunia. Di Czechoslovakia, suruhanjaya bahasa Greek dan
Slovak telah giat berusaha untuk membakukan dan menyuburkan istilah. Dalam
beberapa persidangan di kalangan mereka di antara 1945-50, sebuah tatabahasa,
dan sebuah sistem ejaan telah dibentuk. Di semenanjung Scandinavia pula, setiap
negara di semenanjung itu menubuhkan jawatankuasa istilah dalam usaha
meningkatkan kerjasama kebahasaan. Seterusnya, di Israel, Jawatankuasa Bahasa
Hebrew telah terus bekerja dan akhirnya ditukar menjadi sebuah akademi, dan
telah berjaya merancangkan bahasa Israel moden sekarang. Daripada sebuah bahasa
kuno yang mati, ia telah menjadi bahasa yang sudah hidup.
Jelas
pada kita bahawa usaha-usaha ini, dilakukan demi meningkatkan keupayaan
bahasa-bahasa tersebut supaya dapat mengungkapkan budaya ilmu yang semakin
meningkat. Ini telah dilakukan dalam usaha perancangan kebudayaan yang lebih
luas. Setiap masa ilmu dan budaya sesuatu bangsa itu berkembang dan memerlukan
bahasa yang lebih mampu dan anjal untuk menampung perkembangan budaya tersebut.
Definisi
Perancangan Bahasa
Istilah
perancangan bahasa (language planning) itu mula digunakan oleh E. Haugen (1959)
di dalam penulisannya apabila dia merancangkan bahasa Norway. Di dalam usaha
tersebut. Haugen telah mendefinisikan perancangan bahasa sebagai merangkumi
usaha-usaha yang dijalankan oleh pertubuhan atau jawatankuasa tertentu,
mencakupi segala usaha yang dijalankan oleh pertubuhan tersebut untuk
penyuburan bahasa dan melibatkan usaha-usaha pembinaan, pengubahsuaian dan
pembakuan yang dilakukan kepada sesuatu bahasa yang berkenaan.
Sebenarnya telah ramai ahli bahasa yang pernah
membincangkan perancangan bahasa ini, dan ada pula di antara mereka yang
menggunakan istilah yang berlainan untuk memaksudkan aktiviti yang sama. R.A.
Hall Jr. (1951) telah menggunakan istilah politik bahasa (glottopolitics) yang
merujuk kepada penerapan ilmu linguistik kepada penerapan ilmu linguistik
kepada dasar kerajaan untuk menentukan kaedah tertentu yang dipilih untuk
mewujudkan keadaan dwibahasa di dalam kawasan jajahan yang mempunyai budaya
yang berbeza. G.P. Springer (1956) menggunakan istilah penjuruteraan bahasa
(language engineering) dan merujuk kepada usaha pengabjadan dan pembakuan
bahasa yang belum baku di Soviet. Sutan Takdir Alisjahbana (1961) juga telah
menggunakan istilah ‘penjuruteraan bahasa’ untuk merujuk kepada aktiviti yang
dilakukan secara sedar bagi mengembangkan bahasa di dalam konteks sosial,
budaya, dan perubahan teknologi yang lebih luas. Juga, ada sarjana lain yang
pernah menggunakan istilah penjuruteraan bahasa untuk merujuk kepada aktiviti
yang terancangkan melalui sekolah, gereja, radio, akhbar dan juga perancangan
rasmi untuk mempengaruhi penggunaan bahasa. R. Noss (1967) menggunakan istilah
pembangunan bahasa (language development) dan perancangan bahasa (language
planning) di dalam membincangkan keadaan penggunaan bahasa di dalam pendidikan
di Asia Tenggara. Istilah perancangan bahasa telah juga digunakan oleh j. Rubin
dan B.H. Jernudd (1971) untuk merujuk kepada usaha satu-satu pertubuhan yang
bertujuan untuk menjalankan perubahan kepada kod-kod atau pertuturan bahasa
atau kepada kedua-duanya sekali. J.A. Fishman (1968) juga telah menggunakan
istilah perancangan dan pembangunan bahasa untuk merujuk kepada langkah-langkah
yang dirancang untuk mencari penyelesaian kepada masalah kebahasaan yang
lazimnya dilaksanakan pada peringkat kebangsaan.
Di
dalam kes bahasa Malaysia ini, istilah perancangan bahasa akan digunakan secara
umum seperti yang dimaksudkan oleh E. Haugen. Di samping itu, menurut J.V.
Neustupny (1974), pula, perancangan bahasa ini melibatkan dua aspek
perancangan, iaitu: perancangan taraf dan perancangan bahan. Perancangan taraf
adalah melibatkan segala aktiviti atau usaha yang dapat meningkatkan taraf
sesuatu bahasa tersebut. Umumnya, bahasa (Melayu) Malaysia telah diberikan
taraf sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia menurut artikel 152 Perlembagaan
Malaysia. Selepas itu banyak lagi langkah lain yang dilakukan; seperti
penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dan pentadbiran, kempen
bahasa kebangsaan, penentuan kelulusan bahasa Malaysia sebagai syarat untuk
kelulusan di dalam peperiksaan Sijil Persekolahan Malaysia, dan keperluan
kelulusan bahasa Malaysia sebagai syarat mendapat pekerjaan atau penetapan
dalam jawatan. Perancangan bahan pula melibatkan aktiviti menyusun ejaan baru
penentuan sebutan, pembentukan istilah, tatabahasa dan seterusnya. Aktiviti
demikian itu adalah perancangan bahan, iaitu dilakukan terhadap bahasa sebagai
bahan yang dirancangkan.
Kesimpulan
Proses perancangan bahasa ini adalah terbit
daripada falsafah yang menganggap bahawa bahasa itu adalah lakuan manusia yang
serupa dengan alat. Sesuatu alat boleh dirancangkan untuk diperbaiki, dan
sesuatu alat itu boleh diperbaiki dari segi ejaannya, tatabahasanya,
istilahnya, dan penggunaan bahasa itu secara umumnya untuk menjadi lebih
efisien. Ini berpandukan kepada norma ideal yang telah dikenal pasti dan
dikodkan. Negara Malaysia, memang terlibat secara langsung di dalam hal ini
untuk lebih daripada tiga puluh tahun lalu. Sebenarnya usaha merancangkan
bahasa Malaysia ini berlaku begitu pesat sekali sehingga menimbulkan banyak
perubahan kepada bahasa Malaysia. Pendek kata, Malaysia terlibat di dalam semua
peringkat perancangan bahasa, dan melakukan semua aktiviti yang dibincangkan di
atas. Banyak kebaikan dan masalah yang turut timbul. Dalam hal ini Malaysia
dapat menjadi satu model perancangan bahasa di dunia. Oleh itu proses-proses
ini perlulah dicatatkan demi untuk memahami falsafah dan aktiviti yang
dilakukan untuk memenuhi tujuan tersebut.