Friday 4 May 2012

Situasi 40


Situasi 40 : Bahasa Kanak – Kanak

Pada pandangan saya, bahasa yang digunakan oleh ibu kepada anak kecil sebenarnya boleh mempengaruhi cara anak itu bercakap. Mungkin kita merasakan bahawa hal demikian tidak penting, tetapi sebenarnya amat mempengaruhi alat sebutan anak itu sendiri. Sedia maklum bahawa, kanak-kanak biasanya menggunakan bahasa yang pelat untuk berkata-kata. Jadi, mereka memerlukan persekitaran yang baik bagi membetulkan sebutan pelatnya. Ibu bapalah antara persekitaran terdekat bagi mereka untuk belajar bercakap dengan baik. Namun, apa yang selalu kita perhatikan ibu bapa lebih cenderung menggunakan bahasa pelat seperti anak-anak kecil mereka untuk berkomunikasi. Antara contoh bahasa kanak-kanak yang juga kita sebut ketika berkomunikasi dengan mereka adalah seperti ‘mamam' untuk makan, 'dodo' untuk tidur, 'yak' untuk buang air besar dan sebagainya. Jadi, kita yang lebih dewasa tidak perlu merendahkan taraf pertuturan kerana hanya melihat anak tidak dapat memahami kata-kata kita yang lebih dewasa. Akibat bercakap pelat ini sebenarnya akan menggalakkan anak kecil berterusan bercakap pelat. Video di bawah ini sekadar tatapan untuk kalian.


Thursday 3 May 2012

Situasi 39


Situasi 39 : Slanga

Penggunaan perkataan ‘gila’ sudah menjadi kebiasaan dalam pergaulan remaja terutamanya. Segala perkara tidak kira yang tampak baik atau buruk diselitkan dengan perkataan ‘gila’. Penggunaan perkataan ‘gila’ ini seolah-olah dijadikan pengganti kata penguat yang menggambarkan sesuatu benda yang ‘paling, sangat dan terlampau’. Di bawah ini saya berikan contoh kata yang digandingkan dengan perkataan ‘gila’.

'Cantik gila'
 'Pandai gila'
'Buruk gila'
'Kotor gila'

Contoh 1: cantik gila – membawa maksud sangat cantik.

Disini dapat dilihat kesalahan penggunaan kata penguat dalam ayat. Walhal sebenarnya, gila itu bermaksud tidak waras fikirannya, tidak normal dan sebagainya. Seseorang yang sudah dikatakan pandai pun, dikatakan gila juga. Jadi, apakah maksudnya? Adakah perkataan bahasa Melayu kita semakin maju?

Wednesday 2 May 2012

Situasi 38


Situasi 38 : Kata Berlapik

Seringkali kita mendengar bebelan daripada orang yang lebih tua dan berumur daripada kita. Sebagai contoh yang paling dekat dengan kita ialah ibu bapa kita sendiri. Ibu bapa akan menjaga tatatertib mereka semasa bercakap dengan anak-anak. Mereka tidak akan bercakap sesuatu perkara yang buruk terutamanya apabila bersama anak-anak. Mungkin anda semua pernah mendengar ibu atau ayah anda berkata:

“bertuah punya anak”
“Bertuah punya budak”

Ujaran di atas melambangkan betapa orang tua-tua begitu menjaga setiap perkataan yang keluar dari mulut mereka. Hal ini demikian kerana, setiap perkataan yang keluar daripada mulut seseorang merupakan doa dan bayangkan jika perkataan yang diujarkan itu agak kasar, pastinya sesuatu yang kita sendiri tidak jangka akan berlaku.

Ulasan :

Orang pada zaman dahulu begitu prihatin dan berhari-hati dalam menuturkan sesuatu agar tidak menyesal di kemudian hari. Jika anaknya melakukan kesalahan sekalipun, mereka tidak akan melenting dan tidak mengeluarkan kata-kata yang kesat kerana bimbang akan mengguris hati anak-anak yang masih mentah. Walaupun emosi mereka dalam keadaan marah, tidak sesekali mengeluarkan kata-kata yang boleh membawa kepada sesuatu yang di luar batasan dan kawalan mereka.

Tuesday 1 May 2012

Situasi 37


Situasi 37 : Kata Orang Tua

Diari pada kali ini berdasarkan situasi yang terdapat dalam gambar seperti di bawah.














Ulasan :

Orang tua-tua ni kuat berpesan. Hal ini demikian kerana mereka lebih dulu makan garam dari orang muda. Semua yang dipesannya itu mempunyai sebab yang tertentu bukannya suka-suka. Kebiasaannya adalah untuk menjaga adab kita sebagai orang timur. Namun begitu, orang muda yang terlebih bijak pada masa kini semakin rajin membidas. Tidak logik katanya. Tetapi kata orang tua-tua tu kadang-kadang ada betulnya. Pantang larang ini selalunya berkaitan dengan kehidupan kita sehari-hari. Orang tua-tua tidak menegur dengan menggunakan cara yang keras tetapi menggunakan bahasa yang lembut dan mempunyai makna yang tersirat di sebaliknya. Ia terpulang kepada kita untuk menilai mana yang baik dan buruk walaupun ada yang dikatakan itu tidal relevan dengan dunia yang sudah moden kini.


Monday 30 April 2012

Situasi 36


Situasi 36 : Perancangan Bahasa

Strategi Perancangan Bahasa

Perancangan bahasa menjadi satu aktiviti penting bagi negara-negara yang ingin membentuk identiti baru. Aktiviti ini menjadi menonjol dengan usaha Einar Haugen yang telah membina Landsmal, sebuah dialek di Norway sehingga menjadi bahasa kebangsaan Norway. Banyak lagi usaha sedemikian dijalankan di negara-negara lain, lebih-lebih lagi di negara-negara yang baru mencapai kemerdekaan selepas Peperangan Dunia Kedua. Negera-negara seperti India, Nigeria, Kenya, Zambia, Indonesia, Filipina dan Malaysia mahu membina identiti baru selepas merdeka daripada penjajahan Inggeris.

Sebenarnya ini bukan satu usaha baru. Banyak negara lain yang menjalankan usaha demikian pada zaman sebelum itu. Pengekodan tatabahasa Yunani dijalankan pada zaman kerajaan Helenistik dan Iskandar Agung. Bahasa Sanskrit juga dikodifikasi kira-kira 2000 tahun sebelum Masehi dengan tujuan memantapkannya supaya tidak berubah demi kepentingan agama Hindu. Selepas Revolusi Perancis di Eropah, revolusi bahasa berlaku di Norway, Greece, Belgium, Rumania, Hungary, dan Bulgaria. Banyak usaha penyelarasan dan pembakuan bahasa berlaku. Selepas Peperangan Dunia Pertama, Finland, Estonia, Latvia, Lithuania, Iceland dan Eyre juga menjalankan perancangan terhadap bahasa masing-masing. Bahasa Rusia berkembang selepas Revolusi Rusia. Demikian juga, bahasa Turki menggantikan aksara Arab yang digunakannya dengan aksara Rumi dalam revolusi memodenkan bahasa Turki.

Pada tahun 1582, Duke Cosimo, selepas diyakinkan oleh para penulis, telah menubuhkan Accademica della Cusca, yang bertujuan membersihkan bahasa Itali daripada pencemaran dan mempertahankan kemurniannya. Kardina Richelieu pua di dalam usahanya memusatkan kuasa di Perancis, telah menubuhkan Acadēmie Francaise pada tahun 1653, bertujuan untuk membentuk rumusan yang lebih jelas mengenai bahasa dan tatabahasa. Institusi ini tidak merasmikan bahasa Perancis dan menyuburkannya, tetapi badan itu lebih berupa suatu simbol daripada betul-betul berkuasa. Ini dapat dilihat daripada hasilnya; sebuah kamus yang hanya terbit pada tahun 1964, dan ejaan Perancis hanya dirasmikan pada tahun 1835.

Selepas itu, Sepanyol, Sweden, dan Hungary menubuhkan akademi bahasa, masing-masing pada tahun 1713, 1739, dan 1830. Walau bagaimanapun mereka lebih memberatkan hal-hal ketepatan ejaan, samalah seperti aktiviti Acadēmie Francaise. Dan, tidaklah diketahui sejauh manakah akademi ini membantu pertumbuhan bahasa. Di negara yang tidak mempunyai akademi, ada juga kuasa individu yang wujud untuk menyelaraskan bahasa seperti yang dilakukan oleh Milton, Swift, Dryden dan Defoe untuk bahasa Inggeris dan Jerman. Adamtias Korais (1748-1863) pula, telah mencuba membentuk bahasa Yunani murni dengan menggunakan bahasa agama dan ilmu, dan menjauhkan peminjaman. Pada tahun 1814 Vuk Stefanuric Karadzic, menulis tatabahasa untuk bahasa Yugoslavia, dan pada tahun 1818 di menerbitkan sebuah kamus. Ivar Aasen, membuat perkara yang sama untuk bahasa Norway dengan menghasilkan sebuah tatabahasa pada tahun 1864 dan sebuah kamus pada tahun 1873.

Dengan usaha-usaha ini perancangan bahasa telah lahir. Manusia telah meletakkan nilai tertentu untuk bahasa dan merancangkan langkah-langkah untuk mebolehkan semua penutur menurutinya.

Pada zaman moden, dengan penduduk yang mempunyai ilmu yang bertambah, dan peringkat intelektual yang meningkat, bahasa yang baku yang mungkin tidak begitu penting untuk kesusasteraan, adalah semakin penting dan diperlukan untuk ilmu. Di Turki, Kamal Ataturk, dalam usahanya meningkatkan bahasa Turki, menukar ejaannya daripada Jawi ke Rumi, supaya ia setanding dengan bahasa lain di dunia. Di Czechoslovakia, suruhanjaya bahasa Greek dan Slovak telah giat berusaha untuk membakukan dan menyuburkan istilah. Dalam beberapa persidangan di kalangan mereka di antara 1945-50, sebuah tatabahasa, dan sebuah sistem ejaan telah dibentuk. Di semenanjung Scandinavia pula, setiap negara di semenanjung itu menubuhkan jawatankuasa istilah dalam usaha meningkatkan kerjasama kebahasaan. Seterusnya, di Israel, Jawatankuasa Bahasa Hebrew telah terus bekerja dan akhirnya ditukar menjadi sebuah akademi, dan telah berjaya merancangkan bahasa Israel moden sekarang. Daripada sebuah bahasa kuno yang mati, ia telah menjadi bahasa yang sudah hidup.

Jelas pada kita bahawa usaha-usaha ini, dilakukan demi meningkatkan keupayaan bahasa-bahasa tersebut supaya dapat mengungkapkan budaya ilmu yang semakin meningkat. Ini telah dilakukan dalam usaha perancangan kebudayaan yang lebih luas. Setiap masa ilmu dan budaya sesuatu bangsa itu berkembang dan memerlukan bahasa yang lebih mampu dan anjal untuk menampung perkembangan budaya tersebut.

Definisi Perancangan Bahasa

Istilah perancangan bahasa (language planning) itu mula digunakan oleh E. Haugen (1959) di dalam penulisannya apabila dia merancangkan bahasa Norway. Di dalam usaha tersebut. Haugen telah mendefinisikan perancangan bahasa sebagai merangkumi usaha-usaha yang dijalankan oleh pertubuhan atau jawatankuasa tertentu, mencakupi segala usaha yang dijalankan oleh pertubuhan tersebut untuk penyuburan bahasa dan melibatkan usaha-usaha pembinaan, pengubahsuaian dan pembakuan yang dilakukan kepada sesuatu bahasa yang berkenaan.

Sebenarnya telah ramai ahli bahasa yang pernah membincangkan perancangan bahasa ini, dan ada pula di antara mereka yang menggunakan istilah yang berlainan untuk memaksudkan aktiviti yang sama. R.A. Hall Jr. (1951) telah menggunakan istilah politik bahasa (glottopolitics) yang merujuk kepada penerapan ilmu linguistik kepada penerapan ilmu linguistik kepada dasar kerajaan untuk menentukan kaedah tertentu yang dipilih untuk mewujudkan keadaan dwibahasa di dalam kawasan jajahan yang mempunyai budaya yang berbeza. G.P. Springer (1956) menggunakan istilah penjuruteraan bahasa (language engineering) dan merujuk kepada usaha pengabjadan dan pembakuan bahasa yang belum baku di Soviet. Sutan Takdir Alisjahbana (1961) juga telah menggunakan istilah ‘penjuruteraan bahasa’ untuk merujuk kepada aktiviti yang dilakukan secara sedar bagi mengembangkan bahasa di dalam konteks sosial, budaya, dan perubahan teknologi yang lebih luas. Juga, ada sarjana lain yang pernah menggunakan istilah penjuruteraan bahasa untuk merujuk kepada aktiviti yang terancangkan melalui sekolah, gereja, radio, akhbar dan juga perancangan rasmi untuk mempengaruhi penggunaan bahasa. R. Noss (1967) menggunakan istilah pembangunan bahasa (language development) dan perancangan bahasa (language planning) di dalam membincangkan keadaan penggunaan bahasa di dalam pendidikan di Asia Tenggara. Istilah perancangan bahasa telah juga digunakan oleh j. Rubin dan B.H. Jernudd (1971) untuk merujuk kepada usaha satu-satu pertubuhan yang bertujuan untuk menjalankan perubahan kepada kod-kod atau pertuturan bahasa atau kepada kedua-duanya sekali. J.A. Fishman (1968) juga telah menggunakan istilah perancangan dan pembangunan bahasa untuk merujuk kepada langkah-langkah yang dirancang untuk mencari penyelesaian kepada masalah kebahasaan yang lazimnya dilaksanakan pada peringkat kebangsaan.

Di dalam kes bahasa Malaysia ini, istilah perancangan bahasa akan digunakan secara umum seperti yang dimaksudkan oleh E. Haugen. Di samping itu, menurut J.V. Neustupny (1974), pula, perancangan bahasa ini melibatkan dua aspek perancangan, iaitu: perancangan taraf dan perancangan bahan. Perancangan taraf adalah melibatkan segala aktiviti atau usaha yang dapat meningkatkan taraf sesuatu bahasa tersebut. Umumnya, bahasa (Melayu) Malaysia telah diberikan taraf sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia menurut artikel 152 Perlembagaan Malaysia. Selepas itu banyak lagi langkah lain yang dilakukan; seperti penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dan pentadbiran, kempen bahasa kebangsaan, penentuan kelulusan bahasa Malaysia sebagai syarat untuk kelulusan di dalam peperiksaan Sijil Persekolahan Malaysia, dan keperluan kelulusan bahasa Malaysia sebagai syarat mendapat pekerjaan atau penetapan dalam jawatan. Perancangan bahan pula melibatkan aktiviti menyusun ejaan baru penentuan sebutan, pembentukan istilah, tatabahasa dan seterusnya. Aktiviti demikian itu adalah perancangan bahan, iaitu dilakukan terhadap bahasa sebagai bahan yang dirancangkan.

Kesimpulan

Proses perancangan bahasa ini adalah terbit daripada falsafah yang menganggap bahawa bahasa itu adalah lakuan manusia yang serupa dengan alat. Sesuatu alat boleh dirancangkan untuk diperbaiki, dan sesuatu alat itu boleh diperbaiki dari segi ejaannya, tatabahasanya, istilahnya, dan penggunaan bahasa itu secara umumnya untuk menjadi lebih efisien. Ini berpandukan kepada norma ideal yang telah dikenal pasti dan dikodkan. Negara Malaysia, memang terlibat secara langsung di dalam hal ini untuk lebih daripada tiga puluh tahun lalu. Sebenarnya usaha merancangkan bahasa Malaysia ini berlaku begitu pesat sekali sehingga menimbulkan banyak perubahan kepada bahasa Malaysia. Pendek kata, Malaysia terlibat di dalam semua peringkat perancangan bahasa, dan melakukan semua aktiviti yang dibincangkan di atas. Banyak kebaikan dan masalah yang turut timbul. Dalam hal ini Malaysia dapat menjadi satu model perancangan bahasa di dunia. Oleh itu proses-proses ini perlulah dicatatkan demi untuk memahami falsafah dan aktiviti yang dilakukan untuk memenuhi tujuan tersebut.


Friday 27 April 2012

Situasi 35


Situasi 35 : Bahasa Rempit


Situasi:
Hari ini aku terbaca sebuah blog yang menceritakan perihal penggunaan bahasa rempit. Sebenarnya juga, ini baru pertama kali aku mendengar bahasa rempit. Jadi, untuk menjelaskan kekeliruanku itu, aku membaca kisah yang ditulis oleh penulis blog tersebut. Mengikut tuan punya blog itu, bahasa rempit adalah seperti ejaan yang dieja berlainan daripada ejaan asal seperti ‘lew’, ‘kew’, ‘jew’, ‘niew’, ‘kitew’ dan banyak lagi.

Ulasan :
Dewasa kini, penggunaan bahasa sebegitu semakin merebak, terutamanya dalam kalangan remaja. Mereka berpendapat, penggunaan bahasa seperti itu menunjukkan diri mereka lebih hebat dan tidak terkongkong dengan bahasa Melayu. Sudah terang-terangan bahawa bahasa itu melambangkan identiti kita. Jika rosak bahasa yang kita gunakan, maka bangsa juga akan rosak. Janganlah kita mencemarkan bahasa Melayu kerana diri kita juga adalah orang Melayu yang penuh dengan budaya yang sopan dan berhemah. Masyarakat perlu tahu bahawa sopan dan berhemah bukan sahaja ditonjolkan oleh perbuatan, tetapi dapat ditonjolkan melalui percakapan dan penggunaan bahasa harian kita. Justeru, marilah kita bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu.


Thursday 26 April 2012

Situasi 34


Situasi 34 : Sayangi Bumi Kita

Situasi berikutnya ini berlaku ketika saya memasuki sebuah pasaraya di Behrang. Ketika hendak membuat bayaran, saya terlihat satu poster yang ditampal di dinding berhampiran kaunter bayaran.  Pada poster tersebut ditulis:

Selamatkan bumi kita. Kurangkan penggunaan beg palstik kerana ia mengundang banyak keburukkan. Sabtu hari tanpa beg plastik.

Ulasan :

Berdasarkan situasi di atas, terdapat satu kesalahan bahasa telah dikesan oleh saya iaitu ejaan bagi perkataan keburukkan. Hal ini kerana, dalam bahasa Melayu, tidak wujud imbuhan apitan ke-...-kan sebaliknya yang wujud ialah imbuhan apitan ke-...-an. Oleh sebab itu, perkataan keburukkan salah kerana menggunakan imbuhan apitan ke-...-kan bagi kata dasar buruk.  Ejaan yang sebetulnya ialah keburukan. Oleh sebab itu, masyarakat perlu peka dengan masalah ini kerana ia boleh merosakkan bahasa ibunda kita.