Friday 4 May 2012

Situasi 40


Situasi 40 : Bahasa Kanak – Kanak

Pada pandangan saya, bahasa yang digunakan oleh ibu kepada anak kecil sebenarnya boleh mempengaruhi cara anak itu bercakap. Mungkin kita merasakan bahawa hal demikian tidak penting, tetapi sebenarnya amat mempengaruhi alat sebutan anak itu sendiri. Sedia maklum bahawa, kanak-kanak biasanya menggunakan bahasa yang pelat untuk berkata-kata. Jadi, mereka memerlukan persekitaran yang baik bagi membetulkan sebutan pelatnya. Ibu bapalah antara persekitaran terdekat bagi mereka untuk belajar bercakap dengan baik. Namun, apa yang selalu kita perhatikan ibu bapa lebih cenderung menggunakan bahasa pelat seperti anak-anak kecil mereka untuk berkomunikasi. Antara contoh bahasa kanak-kanak yang juga kita sebut ketika berkomunikasi dengan mereka adalah seperti ‘mamam' untuk makan, 'dodo' untuk tidur, 'yak' untuk buang air besar dan sebagainya. Jadi, kita yang lebih dewasa tidak perlu merendahkan taraf pertuturan kerana hanya melihat anak tidak dapat memahami kata-kata kita yang lebih dewasa. Akibat bercakap pelat ini sebenarnya akan menggalakkan anak kecil berterusan bercakap pelat. Video di bawah ini sekadar tatapan untuk kalian.


Thursday 3 May 2012

Situasi 39


Situasi 39 : Slanga

Penggunaan perkataan ‘gila’ sudah menjadi kebiasaan dalam pergaulan remaja terutamanya. Segala perkara tidak kira yang tampak baik atau buruk diselitkan dengan perkataan ‘gila’. Penggunaan perkataan ‘gila’ ini seolah-olah dijadikan pengganti kata penguat yang menggambarkan sesuatu benda yang ‘paling, sangat dan terlampau’. Di bawah ini saya berikan contoh kata yang digandingkan dengan perkataan ‘gila’.

'Cantik gila'
 'Pandai gila'
'Buruk gila'
'Kotor gila'

Contoh 1: cantik gila – membawa maksud sangat cantik.

Disini dapat dilihat kesalahan penggunaan kata penguat dalam ayat. Walhal sebenarnya, gila itu bermaksud tidak waras fikirannya, tidak normal dan sebagainya. Seseorang yang sudah dikatakan pandai pun, dikatakan gila juga. Jadi, apakah maksudnya? Adakah perkataan bahasa Melayu kita semakin maju?

Wednesday 2 May 2012

Situasi 38


Situasi 38 : Kata Berlapik

Seringkali kita mendengar bebelan daripada orang yang lebih tua dan berumur daripada kita. Sebagai contoh yang paling dekat dengan kita ialah ibu bapa kita sendiri. Ibu bapa akan menjaga tatatertib mereka semasa bercakap dengan anak-anak. Mereka tidak akan bercakap sesuatu perkara yang buruk terutamanya apabila bersama anak-anak. Mungkin anda semua pernah mendengar ibu atau ayah anda berkata:

“bertuah punya anak”
“Bertuah punya budak”

Ujaran di atas melambangkan betapa orang tua-tua begitu menjaga setiap perkataan yang keluar dari mulut mereka. Hal ini demikian kerana, setiap perkataan yang keluar daripada mulut seseorang merupakan doa dan bayangkan jika perkataan yang diujarkan itu agak kasar, pastinya sesuatu yang kita sendiri tidak jangka akan berlaku.

Ulasan :

Orang pada zaman dahulu begitu prihatin dan berhari-hati dalam menuturkan sesuatu agar tidak menyesal di kemudian hari. Jika anaknya melakukan kesalahan sekalipun, mereka tidak akan melenting dan tidak mengeluarkan kata-kata yang kesat kerana bimbang akan mengguris hati anak-anak yang masih mentah. Walaupun emosi mereka dalam keadaan marah, tidak sesekali mengeluarkan kata-kata yang boleh membawa kepada sesuatu yang di luar batasan dan kawalan mereka.

Tuesday 1 May 2012

Situasi 37


Situasi 37 : Kata Orang Tua

Diari pada kali ini berdasarkan situasi yang terdapat dalam gambar seperti di bawah.














Ulasan :

Orang tua-tua ni kuat berpesan. Hal ini demikian kerana mereka lebih dulu makan garam dari orang muda. Semua yang dipesannya itu mempunyai sebab yang tertentu bukannya suka-suka. Kebiasaannya adalah untuk menjaga adab kita sebagai orang timur. Namun begitu, orang muda yang terlebih bijak pada masa kini semakin rajin membidas. Tidak logik katanya. Tetapi kata orang tua-tua tu kadang-kadang ada betulnya. Pantang larang ini selalunya berkaitan dengan kehidupan kita sehari-hari. Orang tua-tua tidak menegur dengan menggunakan cara yang keras tetapi menggunakan bahasa yang lembut dan mempunyai makna yang tersirat di sebaliknya. Ia terpulang kepada kita untuk menilai mana yang baik dan buruk walaupun ada yang dikatakan itu tidal relevan dengan dunia yang sudah moden kini.