Friday, 6 April 2012

Situasi 25


Situasi 25 : Karenah Penjual

Hari Terbuka Kolej Za’ba  telah lama berakhir. Pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh pihak kolej dengan menjemput penceramah dan penyanyi nasyid. Saya bersama kawan-kawan pergi untuk melihat barang yang dijual. Kami singgah di sebuah kedai menjual pakaian. Mata saya tertacap pada sebuah blaus yang ada di dalam kedai itu. Saya pun bertanya harga.

Saya:Baju ni berapa harga?

Penjual: RM 30 je.

Saya: RM 30?? Tak boleh kurang ke?

Penjual: Tak boleh kurang dah. Ni pun kami jual dah murah dah ni.( Jawab dengan nada yang sombong)

Oleh kerana saya mendengar kata-kata penjual dala m nada yang agak kasar dan sombong, saya tidak jadi untuk membeli blaus tersebut.

Ulasan:

Menjadi seorang penjual perlu  mementingkan bahasa yang baik untuk menarik perhatian pelanggan.  Bahasa yang lembut dan menarik boleh menarik perhatian pengunjung untuk singgah membeli.  Dalam tawar menawar harga juga perlu menggunakan bahasa yang baik. Penjual perlu lebih berdiplomasi semasa berunding harga dengan pelanggan. Mereka tidak boleh menunjukkan riak yang sombong dan menjawab dengan nada yang kasar setiap pertanyaan pelanggan. Mereka seharusnya mempunyai etika semasa melakukan proses jual beli.

Thursday, 5 April 2012

Situasi 24







Situasi 24 : Bergurau


Bergurau memang seronok. Kadang-kadang, bergurau boleh membuatkan suasana kelas yang muram menjadi ceria. Yang sepi bertukar gamat. Gurau senda jugalah yang menjadi penambah perisa dalam tautan ukhwah.



Namun, Islam itu cukup cantik. Allah S.W.T. tidak pernah membiarkan umatNya terbiar tanpa panduan. Al-Quran dan As-sunnah itu sentiasa ada untuk menjadi rujukan kita. Dalam hal ini, Dr. Yusuf Qardawi ada meletakkan 5 syarat untuk bergurau senda.




1. PERKARA YANG HENDAK DICAKAPKAN ITU BUKANLAH SESUATU YANG BOHONG HANYA SEMATA-MATA SUPAYA MANUSIA KETAWA.


Nabi SAW bersabda:

ويل للذي يحدث فيكذب ، ليضحك القوم ، ويل له ، ويل له
"Celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia." (HR Ahmad dan ad-Darimi)

Dalam berbicara, kita perlu beringat supaya tidak menokok tambah dan berkata perkara-perkara yang tidak benar. Cuba lihat apakah kesan media apabila tokok tambah menjadi bahan utama dalam tulisan mereka. Berita yang tersebar menjadi sensasi. Kita pula selalunya tanpa usul periksa menyebarkan berita-berita sebegini kepada kawan. Tetapi berita yang tersebar itu kadangkala boleh menjadi fitnah bagi orang-orang tertentu, dan kesannya hidup seseorang boleh menjadi hancur disebabkan fitnah. Maka, berhati-hatilah.

2. TIDAK MENGANDUNGI PENGHINAAN TERHADAP SESEORANG MELAINKAN ORANG TERSEBUT MENGIZINKANNYA.

Firman Allah: "Hai orang-orang yang beriman. Janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain. Boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Al-Hujurat: 11).
Nabi SAW bersabda:

بِحَسْبِ امْرِىءٍ مِنَ الشَّرِ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ
"Cukuplah seorang itu melakukan kejahatan apabila dia menghina saudaranya semuslim." (HR Muslim - sahih)

Ada masanya kita tak sedar perkara yang kita sangka hanya satu gurauan terhadap sahabat kita, sebenarnya telah mengecilkan hati dia. Jangan sesekali menganggap semua insan adalah seperti kita; tidak merasa apa-apa bila diejek. Masing-masing punya perasaan tersendiri.

Jika ada kekurangan pada diri sahabat, tegurlah dengan cara yang baik. Gurauan yang melampau boleh menjadi asbab kepada putusnya sillaturrahim. Maka, berhati-hatilah.

3. MELAWAK YANG TIDAK MENAKUTKAN ORANG LAIN.

Nukman bin Basyir r.a. berkata: Sesungguhnya kami bersama Rasululah SAW di dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki lain mengambil anak panah dari busurnya dan mengejutkan lelaki yang mengantuk yang menyebabkan dia terperanjat. Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ لِرَجُلٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا
"Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam." (HR Thabrani - sahih)

Nabi SAW bersabda:

لا يأخذن أحدكم متاع أخيه لاعبا أو جادا
"Janganlah kamu mengambil barang kepunyaan saudara seIslamnya dengan niat melawak ataupun betul-betul." (HR Ahmad - sahih)

Gurauan yang tidak kena pada tempatnya juga adalah sangat ditegah. Malah nabi sendiri mengharamkan kita untuk menakut-nakutkan saudara seIslam kita. Berpada-pada lah dalam bergurau. Setiap benda ada 'limit' kerana jika tidak memikirkan kesan gurauan yang sepatutnya, hiburan boleh menjadi bala. Maka, berhati-hatilah.

4. JANGAN BERGURAU PADA PERKARA YANG PERLU SERIUS.

Dalam Islam ada 3 perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak.

Nabi SAW bersabda:

ثلاث جدهن جد وهزلهن جدالنكاح والطلاق والعتاق
"Tiga perkara yang mana diambil hukumnya samada dalam keadaan melawak ataupun serius: nikah, cerai, membebaskan hamba." (HR Abu Daud, at-Tarmizi dan Ibnu Majah - sanadnyaHasan)

Sesungguhnya Allah telah mencela orang2 musyrikin yang ketawa ketika mendengar al-Quran. Firman Allah S.W.T.:
"Adakah kamu hai musyrikin rasa hairan dengan ayat2 suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak menangis ketika mendengarnya dan kamu dengar dalam keadaan lalai."(59 – 61 : an-Najm)

Perkara sebegini tidak boleh menjadi bahan gurauan kerana ianya melibatkan hukum agama. Maka, berhati-hatilah.

5. HENDAKLAH MELAWAK SEKADAR PERLU DAN TIDAK BERLEBIHAN.

Nabi SAW bersabda:

وَلَا تُكْثِرْ مِنَ الضَّحْكِ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحْكِ تُمِيْتُ الْقَلْبَ
"Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati."
(Hr Ahmad dan Ibnu Majah – sanad hasan)

Kita seringkali diingatkan, mereka yang banyak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat. Dan bagi mereka yang banyak menangis di dunia (kerana mengenangkan akhirat), hidupnya di akhirat akan lebih bahagia. (Dr. Yusuf Qardawi, Feqhul Lahwi wat Tarwih)

Siapa kata orang Islam tak boleh bergurau?
Boleh. Tapi ada caranya.

IKTIBAR KISAH RASULULLAH S.A.W.
Etika melawak dan bergelak ketawa.

Islam tidak melarang untuk kita berseronok dengan melawak dan bergelak ketawa. Lihatlah bagaimana kisah Rasulullah bergurau dengan seorang wanita tua.

Wanita itu berkata baginda "Doalah kepada Allah supaya Dia memasukkan aku ke dalam syurga." Baginda menjawab "Wahai ibu, sesungguhnya orang tua tidak masuk ke dalam syurga." Perempuan itu balik dan menangis. Baginda saw bersabda:
أخبروها أنها لا تدخلها وهي عجوز إن الله تعالى يقول إنا أنشأناهن إنشاء فجعلناهن أبكاراعربا أترابا
Maksudnya:
"Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak masuk ke dalam syurga dalam keadaan masih tua. Sesungguhnya Allah berfirman " Sesungguhnya kami mencipta wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru. Kami jadikan mereka dalam keadaan dara, yang amat mengasihi suaminya dan yang sebaya dengannya." (Hr Tirmizi dan al-Baihaqi dgn sanad yg hasan)

Abu Hurairah telah meriwayatkan: Para sahabat berkata"Wahai Rasulullah sesungguhnya kamu bergurau senda dgn kami." Baginda menjawab:
نَعَمْ غَيْرَ أَنِّي لَا أَقُوْلُ إِلَّا حَقَّا
Maksudnya: Ya aku bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar. (Hr Tirmizi dan Ahmad – sanadnya hasan)

Wednesday, 4 April 2012

Situasi 23



Situasi 23 : Teguran Seorang Ibu


Hari ini saya ingin berkongsi cerita mengenai hobi yang biasa saya lakukan apabila mempunyai masa terluang. Saya sangat suka membaca novel. Saya mula membaca novel sewaktu zaman sekolah dahulu semasa di tingkatan 2. Pada masa itu, saya masih belum terbuka hati untuk membelinya dan lebih suka meminjam daripada kawan-kawan. Namun, pada penghujung tahun lepas saya mula mengumpul koleksi novel. Terlalu banyak novel yang hasilkan dan setiap novelnya sangat menarik.  Hampir setiap minggu saya membeli novel.  Jarak antara rumah dan kedai menjual novel juga agak dekat. Daripada tiada koleksi novel, dalam masa kurang daripada sebulan saya telah mengumpul 12 novel. Hal ini menyebabkan emak saya (saya panggil Ma) menegur perbuatan saya. Mungkin salah saya juga kerana saya terlalu obses untuk mengumpul koleksi novel. Macam mana emak saya tidak menegur kerana saya bukan beli sebuah tetapi beli tiga atau empat buah novel dalam satu masa. Saya masih lagi mengingati perbualan saya dan emak saya itu selepas saya pulang dari kedai.


Emak: Beli novel lagi?? (tanya dengan nada terkejut).

Saya: Alaa Ma... beli sikit


Emak: Sikit?? Dah banyak macam ni sikit lagi. Membazir duit betul budak ni! Nanti buka semester baru Ma tak nak bagi duit. Bagi duit pun bukan beli nasi tapi beli novel!


Ma   Saya : Ala ma...jangan la macam tu. Kak lin janji tak beli banyak-banyak macam ni. Kalau nak beli pun sebuah je.(saya memujuk)




Ulasan:

Teguran dan ugutan daripada emak saya menyebabkan saya tidak lagi membeli novel. Hanya sekadar beberapa novel sahaja yang mampu saya miliki. Masih ada beberapa novel yang belum saya beli. Teguran daripada emak saya memang tepat. Saya sebagai seorang pelajar tidak seharusnya membazirkan duit untuk perkara yang remeh seperti ini. mungkin sebab terlalu minat saya menjadi seperti ini. Masih banyak perkara penting yang boleh dilakukan menggunakan duit. Saya melihat teguran emak saya sebagai perkara yang penting. Buktinya sehingga kini iaitu hampir dua  bulan lebih saya tidak membeli sebarang novel. Pesanan terakhir daripada saya, jadikan teguran daripada seorang emak sebagai panduan dalam menjalani kehidupan.

Tuesday, 3 April 2012

Situasi 22

SITUASI 22 : Bahasa Kita 

Pelik kan dengan tajuk yang saya nyatakan di atas. Kisah ini berlaku tahun lepas semasa saya dalam perjalanan ke Melaka bersama keluarga tercinta. Semasa di lebuh raya, saya ternampak sebuah kereta yang agak pelik kerana di sekeliling kereta tersebut dilekatkan dengan ’stiker’. Yang menariknya apabila saya terpandang satu ’stiker’ di belakang kereta itu yang berbunyi:

"Tidak Suka Cara Pemanduan Saya
Sila dail 1-800- Gi Mampus!!"

Aduh menyesal pula saya membaca kata-kata yang tercatat di belakang kereta itu. Saya merasakan seolah-olah, saya yang disuruh mampus ketika itu. Saya tertanya-tanya, apakah motif pemilik kereta tersebut meletakkan kata-kata sedemikian pada keretanya? Mungkin dia sedar bahawa cara pemanduannya itu sama sekali tidak bagus. Melalui kata-kata tersebut saya yakin bahawa pemandu tersebut seorang yang sukar ditegur dan tidak boleh menerima pandangan orang lain.

            Bagi saya, sekiranya kita ingin meletakkan ’stiker’ sebagai hiasan di kereta, lekatlah ’stiker’ yang menggunakan bahasa yang baik. Hal demikian kerana melalui setiap kata-kata yang dipamerkan menggambarkan bagaimana sikap kita.  

Monday, 2 April 2012

Situasi 21


Situasi 21 : Mendekati Puisi Melayu Tradisional

Gurindam
§   Merupakan sejenis puisi Melayu Tradisional yang diwarisi oleh masyarakat Melayu sejak zaman berzaman.
§  Bentuk gurindam tidak tetap. Ia boleh berdiri dalam keadaan terikat dan tidak terikat.

Fasal 1
Barang siapa tiada memegang agama
Sekali-kali tiada boleh dibilang nama

Barang siapa mengenal yang empat
Maka yaitulah orang yang makrifat

Barang siapa mengenal diri
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari

Barang siapa mengenal akhirat
Tahulah ia dunia mudharat

Seloka

Ø  R.J Wilkinson menyebut seloka sebagai ucapan yang mengandungi sindiran dalam bentuk yang tidak tetap rimanya
Ø  Bentuk seloka sama dengan puisi lain iaitu mempunyai bentuk yang tidak tetap dari segi jumlah baris dalam rangkap dan rima akhirnya.
Ø  Isi seloka Melayu lazimnya berkaitan dengan cerita rakyat masyarakat Melayu
Seloka Pak Kaduk
Aduhai malang Pak Kaduk !
Ayamnya menang kampung tergadai !
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran !
Mudik menongkah surut, hilir menongkah pasang !
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan !
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk !
Pepatah

Ø  Berasal dari patah-patah perkataan.
Ø  Memberatkan sifat ringkasnya dan bijak susunan perkataannya.
Ø  Ada gula adalah semut – Sesuatu tempat yang menjadi tumpuan orang ramai mencari rezeki .

Bidalan

Ø  Sebahagian daripada peribahasa yang sering kali disebut.
Ø  Berfungsi sebagai nasihat, peringatan, dan sebagainya kepada masyarakat.
Ø  Mempunyai nilai, ilmu dan pengajaran yang sangat berguna.
Ø  Hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa – Semasa hidup, elok melakukan
kebaikan untuk diri sendiri dan juga masyarakat.

Perbilangan

Ø  Mengikut Za’ba, perbilangan ini seakan-akan bidalan dan pepatah.
Berbeza sedikit dari segi susunannya.
Ø  Disebut satu persatu seperti membilang dan isinya hampir-hampir menjadi undang-
undang tetap kerana diterima kebenaran dan kebijaksanaannya.
Ø  Hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati – Budi bahasa seseorang tidak
dapat dibayar dengan wang ringgit melainkan mengenangnya sehingga ke akhir hayat.

Friday, 30 March 2012

Situasi 20



Situasi 20 : Percampuran Kod

Pada sidang blog yang sebelum ini, saya telah menceritakan tentang penggunaan bahasa Inggeris semasa pembentangan “microteaching” yang diadakan di dalam kelas. Pada hari ini, saya ingin menceritakan khalayak masyarakat yang kebanyakkannya mencampurkan dua bahasa dalam pertuturan. Telah menjadi kelaziman bahawa bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dituturkan pada waktu yang sama. Misalnya :

“Nanti datang ke rumah u tonight ok!
Itulah antara perkataan yang biasa disebut-sebut masyarakat kini.

Kadang-kadang perkataan itu sekadar lewah, misalnya :
“Cuba try test dulu”

Sebenarnya, kata “cuba” telah membawa maksud untuk “try” dan “test”. Cume ingin menyedapkan bahasa, ketiga-tiga kata itu digabungkan dalam satu perkataan. Menggunakan kedua-dua bahasa ini tidak menjadi kesalahan sebagai rakyat yang bertutur di bumi Malaysia ini. Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua Malaysia. Hanya yang ingin saya tegur di sini adalah cara penggunaan bahasa-bahasa tersebut dalam prinsip bahasa yang berlainan.

Thursday, 29 March 2012

Situasi 19



Situasi 19 : Meeting

Setelah melalui kuliah di sebelah pagi dan petang, sebelah malam pula ada lagi agenda seterusnya iaitu ”meeting”. Meeting ini tidaklah bermakna mesyuarat seperti yang diadakan secara rasmi di pajabat mahupun secara formal seperti mesyuarat sesebuah pengurusan industri tetapi hanyalah sekadar perkataan yang telah menjadi sebutan biasa yang digunakan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi iaitu bermakna perjumpaan untuk sesuatu program atau perbincangan ilmiah sahaja.

Mungkin benar perkataan meeting ini merupakan satu perkataan yang kelihatan mudah dan difahami setelah sering kali digunakan apabila para mahasiswa atau mahasiswi ini ingin membuat perbincangan ilmiah bagi menyiapkan tugasan berkumpulan dalam sesebuah kursus. Tambahan pula, meeting telah menjadi perkataan yang mudah sahaja dikeluarkan dari mulut para mahasiswa dan mahasiswi  untuk menyatakan bahawa mereka tengah sibuk untuk perbincangan yang mungkin merupakan mesyuarat kecil untuk sesebuah program atau hanya sekadar perbincangan ilmiah.

Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa perkataan meeting ini yang merupakan Bahasa Inggeris ini juga telah dianggap sebati dalam diri para mahasiswa yang terlibat dalam sesebuah pengurusan program mahupun perjumpaan bersama ahli kumpulan untuk melaksanakan tugasan bagi memenuhi keperluan kursus.